RAKAMAN kumpulan penunggang motosikal yang memukul pekerja stesen minyak dan dua lelaki (kiri) yang diminta tampil bantu siasatan. FOTO ihsan polis/pembaca
Farah Suhaidah Othman

POLIS meminta dua lelaki yang aksi mereka dirakam dalam video tular kes pukul dan baling objek kepada pekerja stesen minyak di Sungkai, 6 Oktober lalu, supaya menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata, susulan video berdurasi 42 saat itu menjadi tular , polis meminta kedua-dua saksi berkenaan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu tampil membantu siasatan.

"Kedua-dua saksi atau sesiapa yang mengenali saksi berkenaan boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Asisten Superintendan Ong Chin Yong di talian 012-2013048," katanya dalam satu kenyataan di Sungkai, hari ini.

Klip video dipercayai dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis stesen minyak itu tular sejak kelmarin, menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum mangsa dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek.

Menurut laporan polis yang turut tular mangsa berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, dekat sini, mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Setakat ini kes dilkasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

Mangsa belasahan trauma [METROTV]

Tersilap minyak punya pasal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 11:54 AM