STATUS yang dimuat naik Aina mengenai keadaan bapanya yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Ainaa Rafique
STATUS yang dimuat naik Aina mengenai keadaan bapanya yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Ainaa Rafique
Ridzuan Abdul Rahman


PELAWAK dan pengacara Pian Cecupak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tengah malam tadi selepas mengalami kesukaran bernafas.

Anak sulungnya, Nuraina Fazrin atau Aina memaklumkan berita itu menerusi laman sosialnya Ainaa Rafique.

“Assalamualaikum, mintak jasa baik kepada semua kawan kawan abah, doakan keadaan abah sekarang Rafik Raman, Dia Pian. Abah ada kat wad kecemasan HKL. #prayforpiancecupak,” tulisnya.

Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Rahman, 46, dikatakan masih belum sedar dan sedang menerima rawatan rapi di HKL.

Aina, 21, yang dihubungi memberitahu, dia kini berada di Singapura bagi mengikuti kursus pekerjaan dan buntu memikirkan keadaan bapanya.

“Saya tak boleh balik dulu dan minta abang atau sesiapa saja kawan-kawannya kalau ada kelapangan tengokkan abah.

“Cuma adik dan ahli keluarga lain ada bersama abah sekarang. Dia beritahu doktor sudah pasang alat bantuan pernafasan pada abah dan abah belum sedar.

“Doktor memaklumkan jantung abah sudah stabil dan mereka tunggu abah sedar sepenuhnya sebelum pindahkan dia ke wad biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aina, sejak kebelakangan ini bapanya kerap berdepan masalah semput dan sering menerima rawatan daripada doktor.

“Saya sedih apabila jadi begini, tiada sesiapa pun di sisinya kecuali adik. Sebelum ini setiap kali dia semput, kami bawa dia ke klinik swasta untuk diberi gas bagi membantu pernafasan.

“Abah tak nak pergi ke HKL kerana tak suka dimasukkan ke wad. Dia degil dan kami tak tahu nak minta tolong pada siapa untuk bercakap dengannya,” katanya.

Pian bercerai dengan bekas isteri pada 2000 dan menerusi perkahwinan itu, dikurniakan dua anak iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 3:08 PM