ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full (kanan) bersama Pengurus Felda Pemanis 2 , Mohd. Khalid Halidin melihat bumbung kediaman Hamsiah Adam yang melopong atapnya di terbangkan angin kencang di Felda Pemanis 2, petang, kelmarin. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


KELUARGA di FELDA Pemanis 2, dekat Segamat berdepan detik mencemaskan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan ribut, dalam kejadian petang semalam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu yang menyebabkan tiga rumah rosak.

Hamsiah Hamdan, 53, berkata, menantunya, Mohd Faizal Saharuddin, 33, sempat melaungkan azan ketika keadaan mencemaskan itu, manakala dia sendiri membisikkan selawat ke telinga cucunya, Nursyazrina Mohd Faizal yang baru berusia tujuh bulan.

“Sambil berselawat di telinga cucu yang mula menangis ketika ribut melanda, pada masa sama, jantung saya berdegup laju apabila melihat satu demi satu bumbung rumah diterbangkan ribut,” katanya.

Hamsiah berkata, Mohd Faizal turut melaungkan azan sebelum mengalihkan perabot dan peralatan elektrik apabila melihat bumbung di ruang tamu dan bilik diterbangkan ribut.

Katanya, kejadian berlarutan kira-kira 30 minit itu turut diselangi bunyi guruh dan bunyi atap yang diterbangkan.

“Saya melihat awan hitam dan bimbang berkemungkinan rumah kami dipanah petir,” katanya.

Katanya, kejadian yang pertama berlaku sejak lebih 30 tahun tinggal di FELDA itu juga menyebabkan serpihan tingkap kaca dari rumah jirannya diterbangkan ribut ke rumahnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Mohd Norsham Nashrun yang mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full, melawat rumah mangsa berkata, pihaknya mengagihkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada mangsa ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:14 PM