Fahmy Azril Rosli

MALAYSIA tidak memerlukan kebenaran daripada kerajaan Singapura untuk membina jambatan bengkok, kata Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Singapura langsung tidak terbabit, jika Malaysia mahu meneruskan hasrat untuk merealisasikan projek itu.

Bagaimanapun katanya, bagi pembinaan jambatan ketiga, ia memerlukan kelulusan dan kebenaran daripada kerajaan Singapura.

“Jadi, kita boleh bina jambatan bengkok pada bila-bila masa, namun bagi jambatan ketiga (kita) kena minta (kebenaran) Singapura,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Rancangan Malaysia kesebelas (RMke-11), hari ini.

Pada Selasa lalu, kerajaan bercadang untuk meneruskan semula pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Dr Mahathir sebelum bersara pada tahun 2003.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan Johor hendak meneruskan projek berkenaan

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor, namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 6:57 PM