PEGAWAI Perubatan KKM memeriksa mayat Aiman Nazrin Azlan, 21, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34.9 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
PEGAWAI Perubatan KKM memeriksa mayat Aiman Nazrin Azlan, 21, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34.9 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


PENUNTUT Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) maut selepas kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di Kilometer (KM) 34.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jitra, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa Aiman Nazrin Azlan, 21, berasal dari Alor Mengkudu, Alor Setar dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum terbabit dalam kemalangan itu pada 11.12 malam.

Katanya, ketika kejadian cuaca hujan lebat dan jalan licin menyebabkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan sehingga terbabas ke tepi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, sepasukan anggota bomba turut membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 9:36 AM