FIRASZ Nur Ryhan diberi peluang bermain dan melihat haiwan di Petting Zoo, Lost World Of Tambun.
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Impian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menghidap ketumbuhan pada tulang belakang (Chordoma) untuk ke taman tema akhirnya tercapai apabila dibawa ke Lost World of Tambun (LWOT) di sini, semalam.

Firasz Nur Ryhan dibawa Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS) dengan kerjasama LWOT bergembira mengelilingi taman tema berkenaan.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Fatahiah Basri, 40, berkata, anaknya disahkan mengidap penyakit itu sejak Februari lalu dan kesan daripada penyakit itu anaknya mengalami masalah saraf yang lemah pada beberapa bahagian badan.

“Pada mulanya cikgu taska (taman asuhan kanak-kanak) bertanya sama ada anak saya pernah terjatuh kerana dia nampak lain, pegang barang terjatuh, bila berjalan pun tidak stabil dan jatuh.

“Pada mulanya saya fikir tiada masalah, mungkin anak saya itu hanya berlakon,” katanya ketika membawa anaknya melawat taman tema berkenaan.

Fatahiah berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya, Mohd Zapri Basar, 40, sebelum membuat keputusan membawa Firasz ke Klinik Kesihatan di Putrajaya selepas melihat jari kaki anaknya tidak boleh mengepit selipar.

“Doktor memaklumkan agar anak saya di bawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar kanak-kanak sebelum menjalani pemeriksaan Pengimejan Magnetik Resonans (MRI) di Institut Kanser Negara (IKN) pada keesokannya.

“Anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor memaklumkan ada sesuatu dikesan pada tubuhnya dan perlu dibedah untuk mengetahui punca penyakit,” katanya.

Katanya, Firasz dibedah pada 27 Februari lalu dan hasil pembedahan menunjukkan anaknya mengidap Chordoma iaitu penyakit jarang ditemui pada pesakit kanak-kanak.

“Doktor memaklumkan terdapat ketumbuhan pada tulang belakang dan ia dibuang, namun terdapat sedikit benjolan serta bengkak pada bahagian leher, perasaan saya lega sedikit ketika itu,” katanya memaklumkan pembedahan kedua dilakukan pada bulan berikutnya bagi membuang bengkak di leher.

Fatahiah yang juga guru dan menetap di Kuala Lumpur berkata, anaknya kini menjalani rawatan radioterapi sebanyak 28 sesi sejak 27 Julai lalu.

“Tetapi dua minggu selepas menjalani rawatan radioterapi, saya melihat anak saya seperti tidak boleh berjalan dan kakinya kejang serta doktor memaklumkan rawatan (radioterapi) perlu diberhentikan serta-merta.

“Selepas dibuat MRI semula doktor memaklumkan berkemungkinan ketumbuhan pada tulang belakang Firasz aktif semula dan pembedahan tidak dapat dibuat berikutan kedudukan antara tulang yang remuk dan bengkok hingga menekan tulang lain dan saraf,” katanya.

Menurutnya, Firasz kini bergantung dengan ubat bagi mengurangkan radang dan bengkak dialaminya.

“Apa yang berlaku terhadap anak ini semua ketentuan Allah, doktor ada menasihati agar saya sentiasa bersedia (sebarang kemungkinan) dan terus positif.

“Jadi, doktor mencadangkan pada saya untuk membuat sesuatu yang menggembirakan anak pada ketika ini, pada awalnya kami bercadang membawanya ke Legoland, tetapi atas nasihat doktor dan pihak CWS akhirnya Firazs dibawa ke LWOT,” katanya sebak.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa CWS, Gordon Hendricks berkata, pihaknya sebelum ini dihubungi pihak hospital berkenaan kes itu dan mereka terus menghubungi keluarga terbabit untuk memenuhi impian kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:34 AM