Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SEBANYAK 21,374 kes jenayah komersial dilaporkan di negara ini sejak Januari lalu hingga kelmarin membabitkan kerugian RM4.2 bilion.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan jumlah kes itu akan meningkat sehingga penghujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, daripada jumlah kes itu, sebanyak 56 peratus membabitkan sindiket penipuan menawarkan pinjaman tidak wujud, Macau Scam, Love Scam dan pembelian atas talian yang antaranya beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, kes paling tinggi membabitkan kes menawarkan pinjaman tidak wujud dengan anggaran 30 kes dilaporkan setiap hari.

“Susulan itu, minggu lalu polis berjaya menumpas satu sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud yang beroperasi di Melaka serta satu sindiket Macau Scam yang beroperasi di Pulau Pangkor, Perak

“Serbuan pertama di Melaka dilakukan pada 14 Oktober lalu dan polis menahan tiga lelaki serta dua wanita tempatan berusia antara 23 tahun hingga 42 tahun.

“Sindiket itu sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan terbabit dalam 54 kes penipuan membabitkan kerugian RM345,000,” katanya pada sidang media kejayaan JSJK Bukit Aman menumpaskan sindiket jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur, semalam.


AMAR Singh (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barang dirampas ketika sidang media mengenai kejayaan operasi Seagull di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin.

Amar Singh berkata, dalam serbuan itu, JSJK turut merampas 13 unit telefon bimbit, empat buku catatan data peminjam, 40 dokumen serta beberapa skrip diguna bagi memperdaya mangsa.

Katanya, serbuan kedua dilakukan pada Sabtu lalu membabitkan sindiket Macau Scam yang mempunyai lima rangkaian pusat panggilan di Pulau Pangkor dan beroperasi sejak Oktober tahun lalu.

“Dalam serbuan itu, polis menahan 27 ahli sindiket berkenaan terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita tempatan di Melaka.

“Semuanya terbabit dengan 221 kes penipuan membabitkan kerugian RM1 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 12:06 AM