ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengail pada pesta ngail puyu di Ampang Sawah Batu, Terachi.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengail pada pesta ngail puyu di Ampang Sawah Batu, Terachi.
Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Pesta ngail puyu yang diadakan di Ampang Sawah Batu, Terachi di sini, mengumpul 250 pemancing dari seluruh negeri itu.

Pengarah program, Mohd Amir Kasim berkata, pesta yang diadakan kelmarin dirancang sejak tiga minggu lalu untuk menarik kedatangan orang luar ke kawasan itu, selain mengeratkan hubungan penduduk di enam kampung di situ.

“Kita tidak melepaskan ikan, sebaliknya mengail ikan puyu liar yang terdapat di dalam tali air di kawasan sawah padi.

“Ini kali pertama pesta ngail puyu diadakan di kampung ini dan kita bercadang menganjurkannya sekali lagi pada masa akan datang untuk menarik lebih ramai penyertaan orang luar,” katanya.

Pesta anjuran UMNO cawangan Kampung Mampas, Terachi, Padang Lebar, Parit, Kuala Parit dan Kampung Ibol itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Pada majlis sama, Abd Samad turut menyampaikan sumbangan makanan kepada 50 asnaf dari semua kampung terbabit.

GELAGAT peserta yang mengambil bahagian.
GELAGAT peserta yang mengambil bahagian.

Mohd Amir berkata, aktiviti mengail puyu popular bagi penduduk kawasan itu sebelum ini, namun kini semakin jarang kelihatan.

Katanya, penganjuran pesta ini diharap dapat mempopularkan semula aktiviti itu terutama dalam kalangan generasi muda.

Peserta, Siti Aminah Idris, 41, berkata, dia bersama suami dan tiga anak tidak melepaskan peluang menyertai pesta berkenaan.

“Ini kali pertama kali saya pegang joran untuk mengail. Walaupun tidak berjaya mendapat ikan, aktiviti ini menyeronokkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:46 AM