MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI tertembak mati rakannya yang disangka burung ketika berburu binatang di hutan berhampiran Lubuk Nabau, Sungai Sut, di Kapit, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa maut akibat terkena peluru penabur pada bahagian muka dan telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, ketika kejadian, suspek dan mangsa masing-masing 30 dan 26 tahun keluar berburu.

Katanya, mereka kemudian berpecah sebelum suspek terlihat bayangan yang disangka burung.

Menurutnya, suspek yang menggunakan senapang patah terus melepaskan tembakan ke arah ‘burung’ berkenaan.

“Sebaik tembakan dilepaskan, suspek terdengar jeritan sebelum bergegas mencari suara itu.

“Suspek terkejut selepas mendapati rakannya terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi, NSTP.

Beliau berkata, suspek kemudian menaiki perahu ke rumah panjang untuk memaklumkan bapanya mengenai kejadian.

Tambahnya, bapa suspek bersamanya kemudian kembali ke lokasi dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Mangsa dibawa menaiki sampan sebelum dihantar ke Hospital Kapit, manakala suspek membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Selepas membuat laporan polis berhubung kejadian, suspek ditahan manakala senapang patah yang digunakan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Freddy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai mengakibatkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 2:56 PM