NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


DATUK Seri Najib Razak mempertahankan tindakannya membenarkan lanjutan tempoh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada enam bulan selepas bekerja kepada setahun, sebelum ini.

Menurutnya, langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) itu semata-mata untuk membantu golongan belia mendapat pekerjaan sebelum melangsaikan pinjaman mereka.

Katanya, memang beliau meluluskan dasar itu dalam Bajet 2018, namun bertanya apakah satu kesalahan seperti dibangkitkan timbalan menteri Pakatan Harapan (PH)?

Biarpun tidak menyebut nama, Najib jelas merujuk kepada isu kekurangan kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN didedahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Dia (Nie Ching) salahkan saya kerana ada pelajar tidak bayar balik seawal enam bulan selepas tamat pengajian. Ya betul, saya mengaku. Saya yang luluskan dasar di mana bulan ke-13 selepas tamat belajar, barulah pelajar mula bayar pinjaman.

“Salahkah saya buat begitu? Nak bantu belia kita pun tak boleh? Jika ini salah Najib, saya terimalah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu, malah secara sinis mempersoal mengapa PH berkira mengenai pinjaman PTPTN yang sebelum ini dicadang untuk dihapuskan.

“Ada siapa boleh bantu saya jelaskan apa dia (Nie Ching) kata? Berkira pula dia pasal duit PTPTN sekarang.

“Mereka yang janji mansuh PTPTN dan hasut pelajar jangan bayar, tapi saya pulak yang kena? Mereka semua yang selesa di Putrajaya buat apa untuk bantu pelajar-pelajar ini?” soalnya dalam catatan di Facebook, rasminya hari ini.

Nie Ching, dalam jawapan kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, hari ini menafikan penurunan kadar kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN berpunca tindakan mengeluarkan nama peminjam yang disenaraihitamkan, Jun lalu.

Katanya, kekurangan kutipan balik dana itu sebaliknya disebabkan kerajaan BN memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman dari enam bulan selepas bekerja kepada setahun.

PH dalam manifesto 10 janji 100 hari sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk golongan peminjam yang berpendapatan kecil kurang daripada RM4,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 6:59 PM