DATUK Seri Najib Razak (kiri), Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.
Ahmad Johari Mohd Ali


MAHKAMAH Sesyen membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah masing-masing diikat jamin RM1 juta setiap seorang dengan dua penjamin.

Hakim Azman Ahmad turut memerintahkan supaya pasport antarabangsa dan pasport diplomatik (jika ada) diserahkan kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh turut dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar RM500,000 hari ini dan bakinya dibayar dalam tempoh 10 hari bermula hari ini.

Terdahulu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan ikat jamin RM3 juta.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib bagaimanapun memohon supaya jumlah jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini diguna pakai bagi jaminan untuk tuduhan terbaru.

Peguam Datuk K Kumaraendran bertindak bagi pihak Irwan Serigar pula memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM500,000.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 29 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 12:07 PM