YUSNITA (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Shamsiah (kiri) sambil diperhatikan Ahmad Faiz (terbaring) dan Ahmad Hafizi (dua dari kanan) di rumah mereka di Kampung Sungai Budur, Kota Bharu, hari ini. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BIARPUN fizikal dan umur mereka sudah dewasa, namun dua beradik orang kurang upaya (OKU) terencat akal seperti kanak-kanak apabila masih tidak boleh bercakap dan tidak pandai menguruskan diri.

Ini menyebabkan segala keperluan dua beradik berkenaan, Ahmad Faiz, 30, dan Ahmad Hafizi Mohamad Yusof, 27, dijaga ibu mereka, Shamsiah Mohamed, 55.

Menceritakan keadaan anak kedua dan ketiganya itu, Shamsiah yang juga ibu tunggal berkata, dua anaknya dilahirkan normal seperti bayi lain.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Faiz menjadi kurang upaya selepas terjatuh dari kerusi ke lantai pada usia setahun lebih dan koma sebelum menjalani pembedahan.

“Ahmad Hafizi pula diserang demam panas ketika usia dua tahun lebih sehingga menyebabkan pertumbuhan mental terbantut.

“Selepas peristiwa itu, kedua-dua anak tidak boleh bercakap dan disahkan terencat akal serta tidak dapat membesar seperti kanak-kanak normal lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Budur, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melawat dan menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada Shamsiah dan 31 keluarga lain menerusi program bersama masyarakat disampaikan Eksekutif Kanan YADIM Zon Timur, Yusnita Muhamad.

Hadir sama, Pengarah YADIM Zon Timur, Mahadi Awang dan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Parlimen Kota Bharu, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Menurutnya, dua anaknya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM300 dan RM200 sebulan.

Shamsiah yang bekerja sebagai tukang sapu di Pasar Gok Kapur, Kota Bharu memperoleh gaji sebanyak RM20 sehari dan dengan wang itu dia perlu menyara persekolahan anak bongsu, Nur Mawardah, 17.

“Saya berjimat cermat menggunakan wang berkenaan kerana perlu menanggung sekolah anak dan membeli keperluan dua anak kurang upaya,” katanya.

Kepada orang ramai yang mahu menyampaikan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0301041000008033 atas nama Shamsiah Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:21 PM