WEE Tse berucap ketika majlis perasmian Jelajah Senai Aiport City Forum 2018 di Terminal Penerbangan Perniagaan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Fahmi Mohd Yusof


TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyediakan peruntukan sebanyak RM349 juta bagi melaksanakan 142 projek penambahbaikan sistem bekalan elektrik di Bandaraya Johor Bahru sehingga 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia sebagai persediaan kepada permintaan bekalan yang bertambah selain mengelak berlaku kekerapan insiden gangguan bekalan elektrik.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 17 projek disasarkan bagi menambah baik sistem 33 kilovolt (kV) membabitkan peruntukan berjumlah RM229 juta dan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun hadapan.

“Baki 125 projek lagi adalah menambah baik sistem 11kV di seluruh Bandaraya Johor Bahru dengan kos sebanyak RM120 juta yang dijangka dapat disiapkan pada Disember tahun hadapan.

“Apabila siap semua kerja penambahbaikan ini, menjelang 2020 akan datang diharap dua insiden gangguan bekalan tenaga yang pernah berlaku pada tahun lalu dan September lalu dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Senai Airport City 2018 di Terminal Penerbangan Perniagaan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Wee Tse berkata, TNB juga sentiasa melaksanakan proses penyelenggaraan semua sistem mereka mengikut piawaian bagi mengelak berlaku insiden yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.

Pada tahun lalu, gangguan bekalan elektrik berlaku di sebahagian kawasan Skudai dan Johor Bahru sehingga mengakibatkan operasi perniagaan dua pasar raya besar ‘lumpuh’.

Manakala, ribuan pengguna jalan raya di bandar raya ini tersangkut apabila hampir semua lampu isyarat ‘rosak’ akibat tiada bekalan elektrik berikutan kerosakan di Pencawang Masuk Utama Johor Bahru City Center (JBCC) pada awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 4:13 PM