GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my


PINDAAN terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak lama lagi bakal membolehkan cawangan parti politik ditubuhkan di semua Universiti Awam (UA).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu sejajar dengan langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan dicadangkan dalam tempoh terdekat.

"Sebelum ini memang ada kumpulan Aspirasi dan Wawasan dalam Pilihan Raya Kampus, namun itu hanya pada nama.

"Perubahan pada AUKU yang membolehkan mahasiswa menubuhkan Kelab Barisan Nasional (BN) di UA, Kelab Pakatan Harapan (PH) di UA, Kelab PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan pelbagai lagi seperti di negara maju.

"Di negara maju memang ada parti politik cawangan kampus dan ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang yang akan kita cadangkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika menjawab celahan Noor Amin Ahmad (PH-PKR Kangar) yang bertanya sama ada kementerian akan mewujudkan cawangan parti politik di UA.

Dengan penurunan had umur itu, Maszlee berkata, penuntut bebas berpolitik, mencalonkan diri dan tiada lagi sebarang halangan atau sekatan.

"Pilihan raya kampus sebelum ini dikawal oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) di bawah kuasa BN manakala pelajar yang tidak sehaluan dengan BN dikenakan sekatan dan sebagainya, malah pensyarah juga.

"Sebagai contoh, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga pernah dihalang masuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian akan melaksanakan Dasar Sifar Penolakan secara berperingkat bermula tahun depan bagi memastikan murid berkeperluan khas (MBK) tidak tercicir daripada persekolahan.

Dasar terbabit katanya, sejajar dengan kod amalan pendidikan MBK sebagai tatacara dan panduan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1966.

"Kementerian akan memastikan tidak ada murid tercicir daripada persekolahan sama ada murid tanpa dokumen atau membabitkan kelainan upaya (OKU).

"Justeru, bermula tahun depan, kementerian akan melaksanakan dasar sifar penolakan kepada MBK secara berperingkat," katanya.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, dasar itu bagi memastikan setiap MBK dapat mengikuti Program Pendidikan Inklusif (PPI) tanpa sebarang keciciran.

"Kementerian juga menyasarkan 75 peratus daripada MBK di seluruh negara dapat mengikuti PPI pada tahun 2023 selaras penekanan aspek kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 10:12 PM