Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

SIASATAN kes cabul oleh seorang Ahli Parlimen di Perlis yang juga bekas menteri sudah lengkap, selepas keterangannya selesai diambil polis semalam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya sudah merujuk kes terbabit kepada Bukit Aman sebelum suspek dapat didakwa di mahkamah.

“Kini kes sedang dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-undang) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman selepas siasatan sudah selesai dijalankan.

“Kita masih menunggu keputusan pihak Bukit Aman sebelum kes dapat dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang akan menentukan sama ada dia (Ahli Parlimen) akan didakwa atau tidak,” katanya ketika dihubungi di Kangar, hari ini.

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen di negeri ini disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra di sini pada malam 20 Oktober lalu.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia bersama rakannya ketika itu sedang membuat latihan nyanyian sebelum Ahli Parlimen terbabit tiba dan memanggil mangsa untuk masuk ke dalam kereta bersendirian.

Sewaktu berada di dalam kereta, mangsa dilaporkan disentuh di tangan dan bahu oleh Ahli Parlimen terbabit sebelum dia lari keluar dari kereta sambil menangis kepada ahli kumpulannya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen terbabit ketika dihubungi NSTP Isnin lalu, menafikan bahawa dia melakukan perkara itu dan mendakwa berlakunya salah faham antara mereka ketika pertemuan pada malam kejadian.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Kenapa perlu sebar cerita lagi...'

Soal MP berhubung kes cabul remaja

[UPDATE] Siasatan kes cabul Ahli Parlimen hampir siap

Tiada niat sentuh mangsa - Ahli Parlimen

Sanjeevan, jangan sibuk kerja polis...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 3:36 PM