GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


TINDAKAN lelaki menyamun pemilik kedai di Kepala Batas mengundang padah apabila dia tercicir kad pengenalan dan lesen memandu yang akhirnya memudahkan polis menjejakinya.

Dalam kejadian Selasa minggu lalu, pemilik kedai yang memulakan perniagaan di Jalan Datuk Ahmad Badawi, Kepala Batas, didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, seorang daripada lelaki terbabit kemudian turun dan memasuki kedai itu dengan berpura-pura bersembang sebelum bertindak mengambil dompet mangsa yang diletakkan di poket seluar bahagian depan.

“Kejadian itu bagaimanapun disaksikan anak pemilik kedai itu dan terus bergelut dengan lelaki berkenaan.

“Suspek gagal untuk melarikan dompet itu dan terus bergegas keluar tanpa menyedari kad pengenalan serta lesen memandunya tercicir yang akhirnya membolehkan polis menjejakinya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, seorang suspek ditahan di Taman Bandar Seri Astana, Sungai Petani, Kedah pada 6.20 petang semalam melalui Op Kesan yang dilancarkan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Polis kini sedang berusaha memburu seorang lagi rakan suspek yang turut terbabit dalam cubaan samun ini,” katanya.

Jelasnya, suspek kini ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 4:55 PM