X
Siraj Mohd Zaini


KEMENTERIAN Pendidikan masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berhubung dakwaan ketidakhadiran seorang guru selama tujuh bulan di negeri berkenaan.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ia memandangkan kejadian itu didakwa berlaku pada 2015.

“Kami masih tunggu laporan dari JPN Sabah kerana ia berlaku tiga tahun lalu, perlu semak bahagian mana yang ada kesilapan dan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan baru Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas laporan NSTP semalam mengenai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Nafirah Siman, 18, yang memfailkan saman terhadap gurunya, Jainal Jamran kerana didakwa tidak masuk ke kelas dalam tempoh tujuh bulan pada 2015, ketika remaja itu berada di tingkatan empat.

Saman itu difailkan menerusi tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan dia turut menamakan Pengetua, Suid Hanapi; pegawai pendidikan daerah Kota Belud, Pengarah JPN Sabah, KPM dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam samannya, Nafirah mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015 kecuali pada satu minggu ketika pegawai dari KPM melawat sekolah terbabit.

Sementara itu, Nie Ching berkata, satu mesyuarat khas akan dijalankan dalam masa terdekat bagi membincangkan permasalahan kekurangan guru di negara ini.

“Perlu ada satu unjuran tepat bahawa bakal guru yang kita latih ini seiring dengan guru yang bakal bersara, tidak perlu tempoh lama menunggu bagi mengisi kekosongan itu.

“Saya kecewa dan hairan, isu ini bukan isu baharu, sudah puluhan tahun tapi tiada jalan penyelesaian. Di peringkat KPM, kita tak nafikan masalah kekurangan guru, jadi satu mesyuarat akan dijalankan bersama pihak berkaitan untuk menyelesaikan hal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:27 PM