Mohd Fahmi Mohd Yusof


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan melancarkan Sistem Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) dan Pejabat Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) di Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini.

Sistem dilancarkan itu bagi memastikan semua 350,000 pemohon RIBJ yang dilancarkan pada 22 Mac tahun lalu dapat melalui saringan akhir sebelum diumumkan pada 21 November nanti.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, berkata sistem berkenaan bagi mendapatkan maklumat tambahan kepada pendaftaran dibuat sebelum ini, yang hanya meminta maklumat asas terlalu ringkas bagi tujuan saringan.

Katanya, Bangsa Johor yang sudah membuat pendaftaran ketika pelancaran RIBJ pada tahun lalu digalakkan untuk melayari semula laman web rasmi YSIJ, https://sijf.my bagi melengkapkan proses permohonan mereka.

“Akses ke sistem ini dibuka bermula hari ini sehingga 7 November nanti bagi membolehkan pemohon yang membuat pendaftaran menerusi Sistem e-mohon sebelum ini memasukkan butiran lanjut dan membolehkan proses saringan akhir dilakukan.

“Satu lagi berita baik boleh dikongsikan, semua senarai nama yang layak akan disenarai pendek dan akan diumumkan pada majlis pelancaran rumah contoh di tapak projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn pada 21 November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Sistem Permohonan RIBJ dan perasmian Pejabat Urusan YSIJ di Larkin Sentral di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Azmi berkata, kerja pembinaan 488 unit RIBJ di Bandar Dato’ Onn sudah bermula Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020 dengan harga ditawarkan lingkungan RM100,000 ke bawah.

“Bagi projek pembinaan 320 unit (pangsapuri) RIBJ di Bandar Baru Majidee, Johor Bahru sudah mencapai 81 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan dengan harga RM150,000 ke bawah.

“Satu lagi projek RIBJ di Jalan Yahya Awal kini sedang disemak semula dan sebarang perkembangan lanjut mengenai kemajuannya akan dibuat dalam satu pengumuman nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 9:15 PM
TUNKU Ismail menandatangani plak pelancaran Pejabat Urusan YSIJ dan majlis Pelancaran Sistem Permohonan RIBJ di Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
TUNKU Ismail menandatangani plak pelancaran Pejabat Urusan YSIJ dan majlis Pelancaran Sistem Permohonan RIBJ di Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.