KETUA Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengantung tugas tujuh pegawai dan anggotanya berhubung dakwaan seorang pelabur kehilangan wang tunai berjumlah RM7.9 juta pada 8 September lalu.

Wang itu didakwa hilang selepas unit kondominium pelabur itu di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur digeledah sepasukan polis Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pengantungan terhadap mereka dibuat selepas siasatan dilakukan.

“Berdasarkan siasatan itu, polis juga melengkapkan serta sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung perkara itu kepada pihak (timbalan) pendakwa raya.

“Kita tunggu tindakan selanjutnya berdasarkan arahan mereka (timbalan pendakwa raya),” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Seminar Pemantapan Integriti: Bebas Rasuah Warga PDRM, hari ini.

Pada 27 September lalu, media melaporkan semasa kejadian pengadu lelaki berusia 50 tahun berada di Jakarta, Indonesia.

Pelabur itu mendakwa dia yang pulang semula ke kondominium itu mendapati duit RM7.9 juta miliknya serta beberapa rangkai kunci kereta mewah, hilang.

Difahamkan, pengadu mendakwa wang tunai berjumlah RM7.9 juta yang hilang ialah duit yang diletakkan dalam sebuah kereta BMW berjumlah RM2 juta, duit dalam bilik tidur (RM3.9 juta) dan wang dalam peti besi (RM2 juta).

Antara dikatakan terbabit dalam kes itu termasuk seorang pegawai wanita berpangkat Asisten Komisioner, masing-masing seorang Superintendan dan Inspektor, manakala 11 lagi anggota lain-lain pangkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 2:49 PM