PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dinaikinya melanggar pokok di pembahagi jalan di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana


LELAKI maut manakala wanita parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Karbi Ali, 24, yang memandu Perodua Myvi meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) kira-kira sejam selepas kemalangan.

Manakala mangsa yang parah, Fatma Faizal, 23, yang dijadualkan hadir Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) tiga minggu lagi, kritikal dan dalam pemerhatian di Zon Merah HQE II.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian, kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari 1Borneo menuju ke bandar raya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipercayai hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas sebelum melanggar pokok hingga terhumban ke dalam parit kecil di pembahagi jalan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke HQE II untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pada 10.30 malam, pemandu disahkan meninggal dunia manakala wanita terbabit masih kritikal. Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 3:28 PM