Luqman Arif Abdul Karim

BANTUAN Sara Hidup (BSH) ditambah baik dan diteruskan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, dengan peruntukan lebih bersasar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kadar BSH yang ditentukan adalah RM1,000 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah.

“Isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 hingga RM3,000 pula akan menerima bantuan berjumlah RM750 manakala, bagi yang berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000, akan terima RM500.

“Kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah juga disediakan, namun terhad kepada empat orang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Lim berkata, kerajaan tidak menetapkan had umur dalam menyalurkan bantuan tambahan BSH kepada anak orang kurang upaya (OKU).

“Dengan kata lain, bagi golongan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, bantuan yang akan diterima secara keseluruhan ialah RM1,480.

“Jumlah ini lebih tinggi daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan terdahulu, iaitu hanya RM1,200,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 5:23 PM
Sebahagian nelayan menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di atas sebuah bot di jeti Pulau Duyong, Terengganu. NSTP/GHAZALI KORI