Mohd Azam Shah Yaacob

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Sigh Ishar Singh mengesahkan bahawa bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng atau Ng Chong Hwa, 51, akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh masa terdekat bagi didakwa oleh pihak berkuasa negara itu.

Amar Singh berkata, penahanan Roger Ng oleh polis semalam adalah berdasarkan waran tangkap dipohon oleh kerajaan AS sebelum lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk proses reman, hari ini.

Katanya, waran tangkap dipohon AS itu dibuat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan pendakwaan terhadap Roger Ng di sebuah mahkamah di New York.

“Penahanan Roger Ng semalam oleh polis adalah berdasarkan waran tangkap dipohon oleh AS.

“Hari ini juga, kita sudah membawanya ke mahkamah untuk proses reman dan akan mengekstradisinya ke AS dalam masa terdekat bagi tujuan pendakwaan oleh pihak berkuasa di sana,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

NSTP difahamkan, pendakwaan DoJ terhadap Roger Ng membabitkan konspirasi penggubahan wang haram milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta menipu pihak berkuasa AS bagi tujuan melanggar Foreign Corrupt Practices Act (FCPA).

Selain Roger Ng, bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner turut dituduh di mahkamah di New York, AS kerana terbabit tuduhan jenayah membabitkan 1MDB.

Semalam, Leissner mengaku bersalah atas dua tuduhan penggubahan wang haram milik 1MDB serta pemberian rasuah terhadap pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi yang melanggar FCPA dengan menipu institusi kewangan itu.

Susulan itu, Leissner diarah mengembalikan wang sebanyak RM180 juta (AS$43.7 juta) kepada kerajaan AS.

Dalam pendakwaan sama, DoJ turut menyebut bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low turut dituduh atas dua tuduhan yang sama dengan Leissner.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:45 PM