SEBAHAGIAN pemenang kategori lelaki dan wanita pertandingan The Biggest Loser anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Royal Guest House, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN pemenang kategori lelaki dan wanita pertandingan The Biggest Loser anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Royal Guest House, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


PENGORBANAN suami isteri yang sanggup meninggalkan menu nasi untuk makan malam selama tiga bulan, ternyata membuahkan hasil apabila dinobatkan juara KEMUDI’S BIGGEST LOSER 2018.

Muhammad Yatimin Abdullah dan Hazelen Liana Kamarudin yang bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia dan Sinar Harian, masing-masing berusia 34 tahun, berjaya menurunkan berat badan sehingga 12 kilogram sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, pingat dan sijil penyertaan.

Program anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang dijalankan sejak Julai itu disertai 30 pengamal media Kelantan.

Muhammad Yatimin berkata, tabiat pemakanan sihat yang diamalkan isterinya sejak dari awal pertandingan menyumbang kepada penurunan berat badan mereka.

“Jika sebelum ini, kami berdua mengambil nasi tiga kali sehari, tetapi sepanjang tempoh pertandingan, pengambilan nasi dihadkan kepada sekali sehari iaitu pada waktu tengah hari sahaja serta meninggalkan makanan berkolesterol dan minuman manis.

“Pada masa sama, kami menyertai aktiviti sepanjang program ini dijalankan seperti latihan kecergasan di gimnasium pada setiap minggu.

“Kemenangan ini adalah sebagai satu permulaan untuk kami terus mengamalkan gaya hidup sihat serta mendapatkan berat badan yang ideal biarpun sibuk dengan tugasan sebagai wartawan,” katanya.

Dia berkata demikian selepas Majlis Penutup KEMUDI’S BIGGEST LOSER 2018 di Royal Guest House yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, di Kota Bharu, malam tadi.

Tempat kedua kategori perempuan dimenangi wartawan Bernama, Rohaiza Ab Rahman, 40, dengan membawa pulang RM700 manakala Hanifah Hamzah, 45 (Utusan Malaysia) di tempat ketiga memperoleh RM500.

Naib johan kategori lelaki dimenangi Nik Abdullah Nik Omar, 44, dari The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) manakala tempat ketiga milik Chia Chee Lin, 42 (Astro Awani)

Sementara itu, Presiden KEMUDI, Azran Fitri Abdul Rahim berkata, pertandingan ini dapat membantu pengamal media untuk sentiasa cergas walaupun dalam kesibukan bekerja.

“Insya-Allah program seperti ini akan diteruskan pada tahun depan untuk memupuk gaya hidup dalam kalangan pengamal media,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:30 PM