ERWANAS menunjukkan perangkap mesra alam yang dicipta sejak 2012.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Masalah lalat yang membelenggu penternak di ladang ayam, kambing dan lembu kini boleh diatasi menerusi penggunaan perangkap lalat mesra alam.

Alat itu ciptaan terbaru Institut Penyelidikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Ipoh, Perak menggunakan jaring dan kain biru sebagai umpan serangga terbabit.

Ketua Projek Erwanas Asmar Ismail berkata, alat itu dicipta sejak 2012 dan melalui proses penyelidikan sebelum disiapkan sebagai satu produk baru awal tahun ini.

Katanya, alat itu melalui ujian percubaan di ladang ternakan dan berfungsi dengan baik untuk memerangkap lalat di kawasan berkenaan.

“Mengikut kajian dijalankan, kain biru memang menjadi tarikan utama lalat berbanding warna lain, justeru kami jadikan kain biru ini sebagai umpan.

“Jumlah lalat yang mampu diperangkap tidak terhad, sebaliknya bergantung kepada saiz perangkap yang boleh diubah suai menjadi kecil atau besar.

“Alat ini menggunakan teknologi yang dipelajari dari Thailand, tetapi ditambah baik bagi memastikan ia lebih berkesan,” katanya di Pejabat JPV Terengganu di sini, semalam.


JUMLAH lalat yang terperangkap bergantung kepada saiz perangkap yang boleh diubah suai.

Erwanas berkata, beliau yakin ciptaan baru itu akan membantu menangani masalah lalat di ladang yang dihadapi penternak ayam, kambing dan lembu.

Katanya, mereka tidak perlu lagi menggunakan bahan beracun atau kimia yang membahayakan pengguna dan memberi implikasi buruk kepada penternak serta ternakan.

“Memandangkan ia baru saja dipasarkan serta dalam proses pendaftaran hak cipta, kuantiti dikeluarkan terhad.

“Sebagai permulaan, kami hanya menyediakan 20 unit dan dijual dengan harga promosi iaitu RM300 seunit,” katanya yang memberitahu serangan lalat akan lebih ketara selepas musim hujan.

Katanya, penternak yang berminat boleh menghubungi JPV Daerah atau Negeri masing-masing untuk membuat tempahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:43 AM