Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS merampas dadah jenis heroin, daun ketum, ubat batuk dan sepucuk pistol angin dalam tiga serbuan di Pasir Mas dan Rantau Panjang, semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas selepas mendapat maklumat orang awam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan pertama jam 1.30 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas, polis merampas dadah jenis heroin seberat 225 gram bernilai RM100,000.

Menurutnya, dalam serbuan kedua jam 2.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kubang Rambutan Banggol Kulim, Rantau Panjang, polis merampas sepucuk pistol angin, daun ketum dan ubat batuk, manakala serbuan ketiga kira-kira jam 8 malam merampas daun ketum seberat 60 kilogram.

Katanya, dalam semua serbuan berkenaan, polis menahan 11 individu termasuk empat wanita.

“Serbuan di Pasir Mas menemui satu beg plastik warna merah yang mengandungi lima bungkusan surat khabar berisi 50 botol dadah jenis heroin yang diletakkan di bawah sinki di dapur.

“Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 56 tahun dan empat lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun. Kita turut menyita sebuah kereta Proton Wira, tiga motosikal dan wang tunai RM4,800 dengan nilai keseluruhan RM23,800.

“Serbuan kedua, kita menahan enam orang termasuk tiga wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 41 tahun. Seorang lelaki berusia 21 tahun mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, polis menjumpai sepucuk pistol angin, daun ketum dan ubat batuk dalam rumah berkenaan berjumlah RM95.

Menurutnya, serbuan ketiga di pangkalan haram, Pos Simpangan pula, polis merampas 60 kilogram daun ketum bernilai RM1,800.

“Kesemua suspek ditahan reman antara satu hingga tujuh hari bermula semalam.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 ADB 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 4:53 PM
HASANUDDIN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan di Pasir Mas dan Rantau Panjang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini. Foto SYAMSI SUHAIMI