X
KEADAAN kereta Perodua Viva yang merempuh gerai ‘coconut shake’ di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, Melaka, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN kereta Perodua Viva yang merempuh gerai ‘coconut shake’ di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, Melaka, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Hilmie Hussin


PEMOTONG rumput warga Myanmar parah manakala dua lagi rakannya cedera akibat dilanggar kereta terbabas ketika sedang minum di gerai di tepi jalan dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, Melaka, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 23 tahun yang juga pemegang kad UNHCR bersama rakan yang melakukan kerja memotong rumput, berehat dan minum di gerai menjual air kelapa dan ‘coconut shake’ di situ, sebelum tiba-tiba sebuah kereta Perodua Viva merempuh gerai terbabit.

Majikan pekerja terbabit yang ingin dikenali sebagai Anum, 41, berkata pekerjanya memberitahu kejadian disedari apabila pelanggan di gerai terbabit terdengar bunyi dentuman kuat akibat perlanggaran.

“Pekerja saya beritahu, ketika itu peniaga terbabit sedang menghantar air kelapa kepada pelanggan dan turut terpelanting bersama pekerja saya sejauh kira-kira 20 meter sebelum terperosok ke dalam longkang akibat rempuhan terbabit.

“Selain itu, ada pelanggan dihempap gerai yang tumbang akibat rempuhan kuat kereta terbabit,” kata Anum.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, seorang pekerjanya cedera di kepala, seorang cedera pada kening manakala seorang lagi parah dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat mengalami keretakan pada tengkorak, patah enam tulang rusuk, paru-paru bocor dan berlaku banyak pendarahan.

Katanya, pekerja warga Myanmar itu kini bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.

“Ada saksi memberitahu kereta Perodua Viva itu dipandu laju dan terhoyong-hayang sebelum terbabas melanggar warung.

“Ada saksi menyatakan seolah-olah berlaku pergaduhan dalam kereta namun selepas kemalangan berlaku, pemandu kereta terbabit menafikan dia memandu laju,” katanya.

Kereta itu dipandu seorang lelaki dan terdapat seorang penumpang wanita di dalamnya.

Insiden terbabit menjadi tular di laman Facebook dan dikongsi di laman Geng Viral Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemandu kereta terbabit Muhammad Azzizat Mohamad Kasim, 19, tidak cedera.

“Kejadian berlaku pada 5 petang membabitkan sebuah kereta dan gerai coconut shake. Siasatan di lokasi kemalangan mendapati jalan tiga lorong sehala dan kejadian berlaku ketika cuaca baik.

“Pemandu kereta dipercayai terbabas akibat terlelap lalu merempuh gerai dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 3:44 PM
Digital NSTP Subscribe