MUSTAFAR (dua dari kiri) berbual dengan orang ramai di kaunter ketika mengadakan lawatan ke Pejabat JIM di UTC Selangor di Anggerik Mall, Shah Alam, hari ini. FOTO Faliq Lajim.


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan orang ramai yang ingin memperbaharui pasport mereka untuk membuat permohonan secara atas talian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, selain permohonan secara ‘walk in’, orang ramai boleh memperbaharui melalui Permohonan Pembaharuan Pasport (MyOnline Passport) di laman web imigresen.

Beliau berkata, permohonan berkenaan hanya tujuan pembaharuan sahaja dan bukannya memohon pasport baharu.

“Jika pembaharuan melalui kaunter, tempoh untuk mendapatkan pasport mengambil masa kurang 1 jam selepas pembayaran.

“Namun, jika permohonan atas talian, mereka boleh mendapatkan pasport mereka dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

“Caranya dengan memohon melalui portal imigresen dan memuat naik gambar serta membayar RM200 untuk pembaharuan bagi tempoh lima tahun. Mudah sahaja.

“Bagi serahan pula, pemohon boleh datang sendiri ke imigresen dan pasport akan diserahkan dalam masa 10 hingga 15 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pejabat JIM di UTC Selangor, Anggerik Mall, Shah Alam, hari ini.

Mustafar berkata, serahan boleh dibuat mengikut mana-mana cawangan JIM di seluruh negara yang sudah dinyatakan ketika memohon oleh pemohon.

Beliau berkata, permohonan atas talian kurang mendapat sambutan berikutan orang ramai masih tidak tahu kewujudan kemudahan serta ia kurang mendapat hebahan.

“Tadi apabila saya berjumpa dengan pengunjung yang datang ke pejabat Imigresen di UTC ini, masih ramai tidak tahu pembaharuan pasport dibuat secara atas talian walaupun ia sudah dilancarkan pada September 2016.

“Pada tahun ini, hanya 9,178 permohonan kami terima bermula Januari sehingga Oktober dengan 100 peratus daripadanya diluluskan dalam tempoh satu jam waktu berkerja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang ke arah digital dalam usaha mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu di cawangan pejabat imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:07 PM