HASIAH menunjukkan gambar terakhir Nita (gambar kecil) yang sempat dirakam sebelum ditemui lemas. FOTO Nor Amalina Alias
HASIAH menunjukkan gambar terakhir Nita (gambar kecil) yang sempat dirakam sebelum ditemui lemas. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

“Anak berperangai pelik sebelum ditemui lemas apabila dia mencium tangan saya dan kesemua adik beradiknya seperti memohon maaf,” kata bapa kepada kanak-kanak yang lemas dalam tali air di Kampung Limau Nipis, Bachok, semalam.

Saupi Dollah, 49, berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik, Nurhasnita yang berusia dua tahun juga bersikap terlebih manja dan sering tersenyum.

Katanya, sebelum kejadian itu, arwah yang mesra dipanggil Nita sedang disuap nasi oleh ibunya, Hasiah Semail, 44, di rumahnya dan secara tiba-tiba keluar dari rumah untuk bermain dengan abangnya.

“Namun lima minit selepas itu, saya rasa tidak sedap hati dan mula mengarah ahli keluarga mencari Nita, apabila dia tiada di luar rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Limau Nipis, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, kanak-kanak itu ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air.

Saupi berkata, Nita yang belum boleh bercakap biasanya suka bermain ‘sorok-sorok’ namun semalam dia berasa bimbang apabila hilang hampir sejam lebih.

“Biasanya dia suka menyorok dalam almari, kain selimut namun kami tak temui sebelum saya syak dia ke tali air kira-kira 50 meter dari rumah dan saya panggil penduduk kampung untuk mencari anak saya.

“Saya terkejut apabila jiran menemui mayat anak dalam tali air namun reda dengan kejadian,” katanya.

Bagi Hasiah pula, dia tidak menyangka arwah ke tali air kerana dia sedang menyuap arwah makan dan menyangka anaknya hanya bermain di depan rumah bersama abangnya yang lain.

“Saya baru saja suap sebanyak dua kali, rupanya dia pergi di tali air seorang diri,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Nipis 9.30 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:08 PM