LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang dengan cadangan pembinaan dua hotel di atas Bukit Bendera yang akan bertentangan dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK) bagi bukit berkenaan.

Ia berikutan langkah itu akan mendedahkan risiko serius terhadap kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah serta memberi kesan kepada sekitarnya.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam laporan media baru-baru ini mengumumkan satu daripada hotel itu akan dibina di belakang banglo Convalescent, manakala satu lagi di sepanjang cerun berhampiran kafe di Laluan Kuli.

Beliau berkata, rancangan bagi pembinaan hotel itu ditangguhkan memandangkan kawasan pembinaan membabitkan rizab hutan dan perlu ditangani manakala hotel kedua dilaporkan pada peringkat perancangan bagi meneliti keadaan semasa selepas berlaku beberapa kejadian tanah runtuh.

“Bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh membenarkan pencabulan ke atas RKK yang bertentangan dengan undang-undang memandangkan RKK mempunyai kuatkuasa undang-undang?

“Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak belajar daripada tragedi tanah runtuh, baru-baru ini dan tahun lalu yang menyebabkan kehilangan 20 nyawa dengan kesan kemusnahan kepada alam sekitar berhampirannya,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Dalam kenyataan beliau, Chow berkata, hotel setinggi lima tingkat dengan kapasiti 200 bilik itu tidak boleh dibina melebihi ketinggian ditetapkan dalam RKK.

Menurut Mohamed Idris lagi, tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus pada bulan lalu dan tanah runtuh Granito di kawasan Tanjung Bungah pada tahun lalu jelas mendedahkan ketidakcekapan pihak berkuasa di peringkat negeri dan tempatan dalam berurusan dengan pembangunan di lereng bukit.

Katanya, terdapat kekurangan di pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika mengawasi serta memantau pembangunan di atas dan lereng bukit selain ketidakmampuan pemaju dan kontraktor projek di kawasan dua tragedi tanah runtuh dalam menjalankan kerja mereka dengan sempurna.

“Malah RKK turut mengakui Bukit Bendera adalah kawasan alam sekitar sensitif dengan ciri-ciri istimewa, dan berdasarkan fakta ini Kerajaan Negeri perlu memberikan keutamaan dalam membaik pulih kawasan terbabit.

“Pada masa sama, perlu memulihkan kawasan terjejas selain mengambil semua langkah melindungi bukit, bukannya membenarkan lebih banyak pembangunan hotel di kawasan alam sekitar yang mudah terjejas itu.

“Chow perlu mendedahkan kepada umum rancangan serta cadangan dua hotel itu atau sebarang aktiviti komersial lain dirancang supaya orang ramai boleh memberikan pandangan dan ia tidak seharusnya dikorbankan bagi tujuan kepentingan komersial yang sempit.

“Justeru, CAP dan SAM menggesa Ketua Menteri supaya tidak meneruskan pembinaan dan rancangan bagi dua hotel di Bukit Bendera memandangkan ia adalah kawasan amat sensitif serta mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua hotel bakal dibina di puncak Bukit Bendera'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:36 PM