Suspek pecah kereta yang ditangkap sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Ihsan Pembaca
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


CUBAAN seorang lelaki untuk melarikan diri selepas memecahkan cermin tingkap sebuah kereta ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, di Shah Alam, gagal apabila dia diberkas orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu, kegiatan suspek berusia 36 tahun itu disedari seorang lelaki yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan masjid berkenaan.

Menurutnya, lelaki terbabit menyedari suspek berada di sebelah sebuah kereta Perodua Axia dan sudah memecahkan cermin bahagian tepi kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu kemudiannya menghubungi ahli kariah yang lain untuk membantunya menangkap suspek.

“Ketika pergelutan itu, pergelangan tangan kanan saksi terbabit berkemungkinan patah akibat terkena bampar kereta ketika menangkap suspek,” katanya kepada NSTP, di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihak kariah kemudian menghubungi anggota polis untuk menyerahkan suspek.

Dalam pada itu, rakaman suspek ditangkap turut tular di laman sosial sejak petang tadi yang memaparkan dia diikat dan diletakkan di dalam keranda jenazah di masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:59 PM