PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Kelantan selepas hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Badan Pimpinan BERSATU bersama 14 ketua bahagian PPBM di Hotel Emaslink New Pacific. FOTO Syamsi Suhaimi
Razis Ismail dan Mohd Zulkifli Zainuddin
cnews@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad tiba di Kelantan, hari ini, bagi menghadiri perjumpaan bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan termasuk Ketua Bahagian parti itu.

Beliau tiba bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada 10.15 pagi tadi diiringi Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, Timbalannya, Datuk Sazmi Miah serta anggota parti itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ini kunjungan pertama Pengerusi BERSATU ke negeri ini sejak dilantik Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Mahathir selepas ini dijadualkan hadir Perhimpunan, Majlis Penerangan dan Dialog bersama pemimpin serta wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada 11.30 pagi.

Beliau kemudiannya akan menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pada 3 petang ini sebelum menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Dr Mahathir dijangka pulang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra (LTSIP) pada 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 11:05 AM