Siti Rohana Idris


CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjawab peperiksaan sambil menahan kesakitan di bahagian belakang dan perut selama dua jam setengah.

Fazril Azim Shaharuddin, 17, terpaksa berhenti rehat selama setengah jam berikutan tidak tahan menanggung sakit kerana disyaki menghidap penyakit batu karang ketika menjawab kertas peperiksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.

Pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra itu sepatutnya menduduki peperiksaan di sekolahnya, namun dikejarkan ke HUSM pada 8.15 pagi tadi berikutan kesakitan yang dialami.

Beliau berkata rasa sakit itu sudah dialami sejak seminggu lalu dan beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta di sini, namun hanya diberikan ubat penahan sakit.

“Rasa sakit itu tidak berkurangan dan pihak sekolah bercadang untuk meletakkan saya di bilik khas di sekolah untuk menduduki peperiksaan.

“Kesakitan ini kembali dirasai pada 4 pagi tadi malah semakin teruk dan setengah jam sebelum menduduki peperiksaan pagi tadi pihak hospital terpaksa dipanggil untuk memeriksa keadaan saya sebelum mereka menyarankan agar saya dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan HUSM di sini, hari ini.

Fazril Azim berkata, sepanjang lebih dua jam menjawab peperiksaan Kertas Bahasa Melayu 1 pagi tadi, dia hanya mampu berzikir dalam hati sambil membacakan ayat Kursi dan beberapa ayat ringkas lain sebagai penenang hati.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, dia langsung tidak boleh belajar dan mengulangkaji seperti rakan lain disebabkan kesakitan yang dialaminya.

“Saya hanya berserah kepada Allah SWT dan cuba buat yang terbaik dan sudah pasti rasa sedih kerana tidak dapat bersama rakan lain di sekolah.

“Bagaimanapun, dengan kehadiran ayah dan ibu yang menemani saya di hospital ini sudah mampu memberikan semangat walaupun dalam keadaan menahan sakit,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam jurusan perubatan.

Sementara itu bapanya, Shaharuddin Mahmood, 51, berkata, dia dan isterinya, Nor Asma Mat Dan, 47, terpaksa mengambil cuti kecemasan dan mungkin akan melanjutkan cuti mereka berikutan keadaan anak bongsu dari tiga beradik itu yang masih belum dipastikan penyakitnya itu.

“Anak saya mula berasa sakit sejak Jumaat lalu dan saya membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.

Shaharuddin mengharapkan anaknya itu dapat menjalani semua kertas peperiksaan SPM dan reda andainya mereka terpaksa ‘berkampung’ di hospital demi memastikan kesihatan anaknya itu kembali pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 2:03 PM
FAZRIL Azim Shaharuddin, 17, pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra menghadapi SPM di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Syamsi Suhaimi
FAZRIL Azim Shaharuddin, 17, pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra menghadapi SPM di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Syamsi Suhaimi