Khairul Anuar (tiga dari kiri) bersama penaja melepaskan ikan patin dan pacu untuk pertandingan.
Fuad Hadinata Yaacob


HADIAH termasuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM19,000 menanti peserta pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 ketujuh siri 9 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad ini.

Pertandingan yang diadakan di Tasik Metropolitan Kepong atau dikenali Taman Layang-Layang itu dijangka disertai 1,000 peserta.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, aktiviti bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu negara.

"Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini lebih 600 ekor ikan dinaikkan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman,keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100 gram hingga 10 kilogram.

"Selepas tujuh bulan tiada pertandingan di sini ia kembali lagi dan JPKL ini tidak menghampakan malah mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kota," katanya ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu termasuk patin dan pacu dengan berat antara 300 gram hingga lima kilogram, hari ini.

Khairul Anuar berkata, sambil memancing, peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga.

Beliau berkata, juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM5,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), pemenang keempat menerima RM300, kelima hingga ke-10 (RM200) dan tempat ke-11 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

Menurutnya, Tasik Metropolitan Kepong mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan, rhu, tilapia dan toman dengan berat antara lapan hingga 18 kilogram menanti kaki pancing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 6:06 PM