VEERAPAN (kanan) dan Dr Zainudin (dua kanan) melihat keadaan tempat memasak di sebuah premis makanan yang kotor di Seremban, hari ini. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim


DAPUR berminyak, peralatan memasak berlumut, lantai kotor dan berbau adalah kesalahan yang dikesan dilakukan sebuah premis menjual kuih tradisional di Jalan Yam Tuan, Seremban.

Tinjauan media bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), hari ini mendapati pemiliknya yang turut menjadikan premis itu sebagai tempat jualan peralatan sembahyang amat diragui kebersihannya kerana terlalu kotor.

Persekitaran premis berkenaan juga didapati bersepah dengan barang tidak digunakan seperti bakul dan kotak selain menjadikan permukaan meja sebagai tempat memotong kuih.

Berikutan keadaan itu, premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, selain faktor kebersihan, pekerja premis itu juga tidak bersih selain tidak memakai pakaian sesuai ketika bekerja.

Menurutnya, kedai berkenaan antara 16 premis makanan yang diarah tutup daripada 50 premis diperiksa dalam Operasi Premis Makanan Bersih bermula jam 11 pagi hingga 4 petang hari ini.

“Sepanjang operasi, antara kesalahan dikenal pasti adalah pengendali makanan tiada sijil latihan pengendali makanan, tidak mengambil suntikan anti-typhoid, tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kebersihan diri.

“Justeru, kita mengeluarkan 103 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 membabitkan nilai kompaun berjumlah RM25,350,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali

Dalam pada itu, Veerapan berkata, berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 5,779 premis makanan diperiksa dan 65 daripadanya diarah tutup.

Katanya, sebanyak 728 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 membabitkan kompaun berjumlah RM173,350 turut dikeluarkan kepada pesalah bagi tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:19 PM