LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Wartawan NSTP


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji semula perjanjian konsesi dengan vendor yang mengendalikan pelbagai sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk sistem Visa Luar Negara (VLN).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Harian Metro mengenai kelemahan sistem VLN dalam talian termasuk Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) dan eVISA untuk pelancong China dan India yang ingin memasuki Malaysia.

“Pelaksanaan sistem eNTRI yang dikendalikan oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) melalui satu perjanjian konsesi dengan KDN sejak tahun 2016 dikatakan gagal berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China yang memasuki negara ini.

“Sejak memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, saya sudah mengarahkan pengurusan KDN untuk mengkaji semula perjanjian-perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem VLN.

“Tujuan kajian semula ini ialah untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas oleh sebarang bentuk kelemahan yang berkemungkinan wujud di dalam perjanjian mahupun pelaksanaan sistem,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhyiddin, KDN akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menaik taraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisien bagi memastikan perkhidmatan disediakan adalah lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos.

Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata, pada masa ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan membabitkan beberapa syarikat konsesi yang mendapat hak untuk mengendalikan sistem imigresen.

“KDN memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan. KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika terdapat bukti mengenai kelemahan atau penyelewengan di dalam pelaksanaan sistem ini,” katanya.

Rabu lalu, Harian Metro mendedahkan kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar memberi keuntungan atas angin kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

UKSB yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

.

Berita berkaitan

href="https://www.hmetro.com.my/utama/2018/11/395589/update-ancaman-besar-kepada-negara">'[UPDATE] Ancaman besar kepada negara'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 9:19 PM