Haniza (dua kiri) dan Dr Daroyah (dua kanan) semasa diumumkan menang pemilihan Ketua dan Timbalan Ketua Wanita PKR. FOTO Aziah Azmee
Mohd Iskandar Ibrahim

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha dipilih sebagai Ketua Wanita PKR bagi penggal 2018-2021.

Haniza yang juga Exco Kerajaan Selangor menewaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dalam Pemilihan PKR 2018 yang berlangsung sejak 22 September dan berakhir 10 November lalu.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita, ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi menewaskan pencabarnya yang juga ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Tiga jawatan Naib Ketua pula dimenangi Datin Faezah Ariffin, Sangetha Jayakumar dan Wasanthee Sinnasamy.

Seramai 20 Ahli Majlis Pimpinan Wanita turut diumumkan bagi penggal terbabit antaranya Catherine Jok Uvang, Ginie Lim Siew Lin, Hasmorni Tamby, Juwairiya Zulkifli dan Kavitha Chandragesen.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusuff namun tiada sebarang jumlah undi didedahkan.

Sementara itu, Haniza pada sidang media selepas pengumuman itu berkata, kepimpinan baharu Wanita PKR akan meneruskan agenda menegakkan keadilan untuk golongan wanita.

“Matlamat kami adalah untuk meneruskan asas perjuangan PKR dalam menegakkan keadilan khususnya dalam kalangan wanita dalam dan luar parti.

“Apa yang berlaku sepanjang proses pemilihan, itu hanya perkara biasa, proses demokrasi yang berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, pimpinan baharu itu akan terus bekerja dengan mengadakan pertemuan bersama Ketua Wanita di peringkat Cabang di seluruh negara.

“Saya percaya dan yakin dengan pimpinan yang baru dipilih ini akan dapat menjayakan cita-cita parti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 6:49 PM