GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


SEORANG lelaki tergamak mencekik dan membelasah anak lelakinya berusia empat tahun selepas marah kerana tidak diberikan wang oleh isterinya, dalam kejadian di Kampung Feri, Jalan Menawo, Keningau, Rabu lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit dikatakan cuba ‘melempar’ anaknya ke tengah jalan besar yang ketika itu dilalui banyak kenderaan, namun sempat dihalang abang iparnya.

Dalam kejadian 8 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit dikatakan pergi menemui isterinya yang menumpang di rumah abang berikutan pasangan berkenaan sedang dalam proses perceraian.

Bagaimanapun, sebaik permintaannya ditolak, lelaki terbabit terus mengamuk dan bertindak agresif menarik anak lelakinya sebelum diheret ke jalan besar kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim berkata, suspek ditahan orang awam yang melihat kejadian berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Katanya, akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan di leher dan dirujuk ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama ibu dan adik lelakinya yang berusia 18 bulan tinggal bersama pak ciknya di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan segala perbelanjaan keluarga itu sebelum ini ditanggung isterinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.

Lee berkata, suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap suspek didapati negatif dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didapati menggunakan kad pengenalan palsu ketika operasi sekatan jalan di Jalan Apin-Apin, malam tadi.

Lelaki berusia 25 tahun itu mengaku kad pengenalan berkenaan palsu dan dibeli daripada seorang lelaki yang hanya dikenali dengan panggilan Paul dengan harga RM3,000.

Suspek cuba menyogok RM500 kepada anggota polis sebelum ditahan mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:18 PM