MOHAMAD Sabu (dua kanan) bersama Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Izham Hashim (kanan) memerikasa perbarisan ketika Konvensyen Perti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nadia Hamid
nnadia@nstp.com.my


KEPEMIMPINAN tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum memutuskan calon dan parti yang akan bertanding menentang Datuk Seri Mohamad Hassan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata mengikut tradisi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerusi DUN Rantau adalah milik PKR.

“Kita tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya.

“PH akan putuskan. Kalau seperti PRU lalu, tempat (DUN) itu (Rantau) PKR tanding,” katanya ketika sidang media di Subang Jaya.

Beliau bercakap selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata dijangkakan PH akan menggunakan logo gabungan di PRK DUN Rantau.

Kerusi DUN Rantau sebelum ini dimenangi Datuk Seri Mohamad, tanpa bertanding, selepas calon PKR, Dr S Streram dihalang memasuki kawasan pengundian kerana tidak memiliki pas SPR.

Pada 23 Mei lalu, Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan di kerusi DUN Rantau.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, dibatalkan dan tidak sah.

SPR dijangka mengumumkan keputusan sama ada akan diadakan PRK DUN Rantau, selepas tamat tempoh rayuan mahkamah selama 14 hari bermula Jumaat.

Difahamkan, SPR akan menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan sekiranya ada pihak mengemukakan rayuan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Seremban berhubung pembatalan kemenangan Mohamad, di DUN Rantau pada PRU lalu.

"Tanpa perakuan berkenaan, pilihan raya kecil (PRK) tidak perlu diadakan.

"Saya rasa ini adalah untuk memberikan peluang kepada mana-mana pihak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan," katanya.

Lagi berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 12:58 PM