Zuraimi Abdullah

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengunjungi Masjid Hohola di Papua New Guinea, hari ini, sebelum mengakhiri lawatan kerja dua hari di negara berkenaan.

Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam pembinaan masjid itu yang dibina pada awal 2000.

"Apa yang menarik, menurut masyarakat Islam di negara itu, tanah berkenaan pada mulanya ditawarkan kepada Dr Mahathir untuk tujuan pembinaan masjid pertama di Papua New Guinea.

"Bagaimanapun Dr Mahathir dengan sikap rendah dirinya, tidak mahu masjid berkenaan dibina olehnya atau dinamakan atas nama beliau. Dr Mahathir kemudian mencadangkan supaya masjid itu dibina oleh masyarakat Islam di negara itu," kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada media Malaysia ketika berkunjung ke masjid terbabit.

Saifuddin turut memberitahu, kerajaan Malaysia pada waktu itu menyumbangkan dana permulaan untuk pembinaan masjid berkenaan.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan sebarang sumbangan oleh dirinya dalam pembinaan masjid itu.

"Itu bukan projek kita. Ia disumbangkan oleh pelbagai organisasi Islam," katanya.

Dr Mahathir berada di Papua New Guinea untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26, yang melabuhkan tirainya hari ini.

Kehadirannya di APEC menghidupkan semula lawatan terakhir luar negara beliau (pada 2003) ketika menjadi Perdana Menteri terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 9:41 PM
DR Mahathir bersalaman dengan komuniti Islam yang hadir ketika melawat Masjid Hohola selepas menghadiri mesyuarat APEC 2018. FOTO Bernama
DR Mahathir bersalaman dengan komuniti Islam yang hadir ketika melawat Masjid Hohola selepas menghadiri mesyuarat APEC 2018. FOTO Bernama