FOTO Hiasan
Shahrinnahar Latib


ASRAMA sementara akan diwujudkan untuk menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM), jika berlaku banjir di Kuantan sepanjang berlangsungnya peperiksaan berkenaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafa berkata, ia akan memudahkan calon yang menjadi mangsa banjir untuk menjawab peperiksaan selain tidak mengganggu prestasi mereka untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM.

“Kita juga sudah mengenalpasti 13 sekolah yang menjadi pusat peperiksaan dijangka akan terjejas akibat banjir. Jadi kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk mengatasi masalah ini jika berlaku banjir nanti,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Mohd Razali berkata, kaedah ini dilaksanakan di bawah Operasi Payung (Ops Payung) yang dirangka Lembaga Peperiksaan untuk memastikan calon boleh menduduki peperiksaan walaupun banjir.

“Kita juga akan mewujudkan pusat peperiksaan tumpang jika calon tidak dapat ke sekolah berikutan terputus laluan akibat banjir. Calon terbabit akan ditumpangkan di pusat peperiksaan lain supaya tidak tercicir jika pusat itu terbabit dalam bencana alam.

“Kita sentiasa berwaspada dan mencari alternatif untuk memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.

“Setakat ini, di daerah Kuantan kita ada seramai 6,309 calon SPM dan 558 calon STPM,” katanya.

Beliau berkata, calon di sekolah yang terjejas ini boleh memilih sama ada berada di asrama sementara di sekolah mereka atau menjalani peperiksaan di pusat peperiksaan tumpangan.

“PPD hanya mahu memastikan calon dapat menjawab peperiksaan dengan sempurna sekali gus mendapat keputusan yang cemerlang nanti. Kita tidak mahu persediaan mereka terganggu disebabkan banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 11:04 AM