Waytha (bawah kiri) berpeluk tubuh semasa diasak oleh Ahli Parlimen berkaitan kenyataannya di Belanda sebelum ini. FOTO Ihsan BNPPortal
Mohd Iskandar Ibrahim

SESI Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila wakil rakyat pembangkang menggelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sebagai menteri rasis.

Kekecohan itu berlaku apabila Waytha yang sedang menggulung Belanjawan 2019 menyentuh mengenai isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum dicelah oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-UMNO Kepala Batas).

Reezal meminta penjelasan Waytha sama ada jika ICERD diratifikasi, ia akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Waytha bagaimanapun menafikan yang ratifikasi ICERD tidak akan mengubah artikel berkenaan.

“Tidak. Ia tidak mengubah Artikel 153," katanya ringkas.

Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO Tanjung Karang) kemudian bangun dan meminta penjelasan menteri itu mengenai klip videonya yang mengecam kerajaan ketika itu mendiskriminasi masyarakat India seperti yang tersebar di media sosial.

Waytha bagaimanapun menjawab kerajaan ketika itu memang mengamalkan diskriminasi dan beliau mempunyai bukti berhubung perkara itu menyebabkan dewan bertambah kecoh.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu mengamalkan diskriminasi dan saya mempunyai bukti," katanya.

Jawapan itu mengundang kemarahan hampir semua wakil rakyat pembangkang termasuk dari PAS yang kemudiannya melaungkan pengasas Hindraf itu sebagai ‘menteri rasis’.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong) mendakwa Waytha tidak layak menjadi menteri yang memegang portfolio perpaduan.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) kemudiannya bangun dan mengusulkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad (PH-BERSATU Langkawi) yang menjawab soalan berkaitan ICERD dan mendakwa Waytha tidak layak berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 1:15 PM