Shaarani Ismail dan Zahratulhayat Mat Arip


TEGAS, kasih sayang dan sabar selain mencontohi sifat baik yang dianjurkan Rasullullah SAW dalam mendidik anak menjadi kunci kejayaan Harun Othman, 83, yang juga penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Perak Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri tahun ini.

Harun yang mempunyai 11 anak iaitu tujuh lelaki dan empat perempuan hasil perkongsian hidup dengan Allahyarhamah Habibah Idris serta Norkiah Mokri berkata, mendidik anak dalam bilangan yang ramai memang menjadi satu cabaran yang cukup besar.

“Saya selalu pesan pada anak-anak supaya jangan sombong dan menghormati orang lain kerana apabila kita hormat pada orang lain, orang akan hormat semula dengan kita.

“Saya juga akan pastikan agama dan solat lima waktu menjadi keutamaan kepada semua anak-anak kerana itu adalah asas dan tiang kehidupan, dalam apa juga keadaan, solat lima waktu mesti jadi keutamaan.

“Anak perlu diasuh dengan pendidikan agama supaya menjadi orang yang bermanfaat kepada masyarakat, solat dan ibadat kena jaga supaya mereka tidak sombong selain sentiasa sematkan dalam diri untuk sentiasa membantu orang dalam kesusahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah dan sijil daripada Pengerusi Majlis Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dewan Besar, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dekat Taiping, hari ini.

Berangkat sama, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Pada majlis itu, Harun yang juga penerima anugerah utama membawa pulang wang tunai RM5,000; plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Harun yang juga Penolong Pendaftar Nikah, Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk berkata, berkat kesabaran dan didikan agama yang kuat sebagai asas, hampir semua anaknya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan mempunyai kerjaya masing-masing.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri hari ini dimulakan dengan ucapan selawat dan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak sebaik keberangkatan tiba, Raja Jaafar.

Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul oleh pendakwah bebas, Fawwaz Fadzil, penyampaian anugerah sempena Maulidur Rasul sebelum diikuti bacaan selawat beramai-ramai dan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak sebaik majlis selesai.

Selain Anugerah Tokoh Keluarga Mithali, Raja Jaafar turut berkenan menyampaikan hadiah kepada Tokoh Pendakwah yang dianugerahkan kepada Aman Asnida Abdullah dan Tokoh Imam kepada Shumim Ali Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 2:44 PM
PENERIMA Anugerah Mithali Harun Othman, 83, (tengah) diraikan oleh keluarga beliau pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting hari ini. FOTO BERNAMA