Nik Sukry Ramli


KAWASAN sekitar bangunan Wisma Sri Pahang adalah kawasan larangan merokok dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah tanpa mengira jawatan atau pangkat mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kawasan bangunan kerajaan adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan tindakan penguatkuasaan termasuk dikenakan kompaun.

"Memang kawasan ini (Wisma Sri Pahang) adalah kawasan larangan merokok dan jika ada pihak tertentu merokok di sekitar bangunan yang sedang berlangsung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini, tindakan tegas boleh diambil.

"Cuma, kalau kebetulan ketika mereka ini sedang merokok dan tidak ada pegawai penguatkuasaan ketika itu, kiranya macam rezeki mereka (tidak dikenakan tindakan)... kalau nak kira, memang tindakan boleh diambil terhadap mereka (perokok) tanpa mengira jawatan atau pangkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Persidangan DUN Pahang Ke-14, mengenai isu masih ramai pegawai kanan kerajaan negeri merokok di kawasan sekitar Wisma Sri Pahang ketika persidangan DUN berlangsung.

Sementara itu, menjawab soalan asal dikemukakan Chon Siang, Syed Ibrahim berkata, 1,226 kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pahang kepada perokok yang melanggar arahan larangan merokok di kawasan tertentu pada tahun 2016.

"Terdapat 23 kawasan larangan merokok disenaraikan buat masa ini antaranya restoran berhawa dingin, kawasan institusi pendidikan, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks membeli-belah dan kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya.

"Pada tahun lalu (2017), sebanyak 3,392 kompaun dikeluarkan dan tahun ini pula, sehingga September lalu, sebanyak 2,961 kompaun dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, lebih banyak kawasan larangan merokok akan diumumkan dari semasa ke semasa, termasuk restoran terbuka yang akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bermula tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 2:46 PM
SYED Ibrahim (kiri) ketika menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang DUN Pahang. FOTO Zulkepli Osman
SYED Ibrahim (kiri) ketika menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang DUN Pahang. FOTO Zulkepli Osman