GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


LAGAK berani lelaki yang cuba menyerang anggota polis dengan batang besi serta senjata tajam mengundang padah apabila dia ditahan di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini.

Malah, video kejadian berkenaan berdurasi selama satu minit 37 saat turut tular di media sosial memaparkan polis terpaksa mengepung suspek berusia 33 tahun yang enggan menyerah diri.

Suspek dilihat bertindak agresif dengan menghayun batang besi serta mengacukan senjata tajam kepada anggota polis dan orang awam.

Polis kemudian terpaksa menggunakan kekerasan bagi menahannya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika kejadian, pihaknya menerima maklumat mengenai tindakan seorang lelaki membuat kacau serta mengganggu orang awam di sekitar Bandar Sri Permaisuri.

Katanya, sebelum ditahan, suspek mengeluarkan dua pisau kecil serta menghayunkan batang besi kepada anggota polis.

"Suspek enggan bekerjasama sebaliknya cuba menyerang dengan batang besi serta pisau menyebabkan anggota polis di lokasi kejadian terpaksa menghubungi bantuan.

"Bagaimanapun, selepas beberapa minit, suspek akhirnya berjaya ditahan dengan dibantu orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohamed, pemeriksaan dibuat pada beg silang dibawa suspek, polis menemui satu tiub straw disyaki mengandungi syabu dengan anggaran berat 0.1 gram dan satu peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis yang sama seberat 0.2 gram.

Katanya, semakan polis mendapati motosikal digunakan suspek juga adalah motosikal curi dan dilaporkan hilang di kawasan Cheras.

"Hasil semakan, suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 9:59 PM