LAPORAN portal berita Harian Metro.
Sarah Zulkifli


‘BOY Tiger’ yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mendera anak lelaki tirinya diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Azrul Darus terhadap Khairul Izaini Khairuddin, 31, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan selama 30 hari.

Terdahulu, Khairul Izaini yang juga penganggur memaklumkan mahkamah bahawa dia pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Saya menghidap penyakit skizofrenia (gangguan mental) sejak kecil dan menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang serta mendapat bekalan ubat dari hospital itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim berusia tiga tahun empat bulan didapati melakukan penderaan terhadap mangsa di dua buah rumah di Lorong Permai 2, Kampung Indah Permai dan sebuah rumah di Taman Ampang Saujana, Jalan Persiaran Saujana, Ampang antara Ogos 2017 hingga November lalu.

Pertuduhan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan status kesihatan mental tertuduh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta sama ada layak dibicarakan atau tidak.

Terdahulu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali, dia didakwa atas tuduhan membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika disabit kesalahan.

NSTP melaporkan pada 12 November lalu, sepasang suami isteri ditahan selepas menghilangkan diri selama empat hari kerana terbabit dalam kes penderaan kanak-kanak berusia tiga tahun.

Kedua-dua mereka ditahan di Hospital Kajang selepas isterinya dikatakan melahirkan anak di sebuah inap desa di Hulu Langat sebelum menerima rawatan susulan di hospital itu.

Berita berkaitan:

  • Boy Tiger didakwa bunuh [METROTV]
  • Boy Tiger didakwa esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 4:41 PM