S Streram. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi
nur@nstp.com.my

E-mel:

DAKWAAN Dr S Streram adalah orang luar dan tidak sesuai menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau tidak sepatutnya timbul kerana beliau sudah dipilih sebagai Timbalan Ketua Cabang Rembau dalam pemilihan baru-baru ini.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, pemilihan beliau oleh ahli cabang menandakan penerimaan mereka terhadap Dr Streram yang juga calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Jika dianggap sebagai orang luar, beliau tidak akan mendapat sokongan ahli cabang malah pasti mereka menolaknya ketika pemilihan berkenaan.

"Sepatutnya tidak timbul isu, kerana beliau sudah menjadi Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau. Beliau sudah menang di Rembau, jadi saya rasa pelik jika ada yang menganggapnya sebagai calon luar.

“Dr Streram sudah bekerja selama beberapa tahun di Rantau dengan memberi khidmat kepada masyarakat di Rantau dan Rembau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sikamat di Seremban, hari ini.

Semalam, Ketua PKR Cabang Rembau, R Tanggam, dilaporkan meminta kepemimpinan parti itu supaya menamakan anak tempatan sebagai calon PRK Rantau.

Beliau mendakwa, Dr Streram adalah calon ‘payung terjun’ yang berasal dari Johor dan tidak mengetahui masalah penduduk di DUN berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, nama Dr Streram termasuk dalam lima nama yang dikemukakan pihaknya kepada pucuk pimpinan parti sebagai calon bagi PRK berkenaan.

Beliau yang sudah mengemukakan senarai nama itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan keputusan untuk pemilihan calon PRK Rantau kepada kepemimpinan tertinggi parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 8:50 PM