POLIS akan memanggil penganjur Himpunan Tuntut Janji Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan

di ibu pejabat PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur hari ini untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, tindakan itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Tiada notis diberikan kepada polis.

"Kita akan ambil tindakan mengikut APA 2012," katanya menerusi mesej WhatsApp kepada media, hari ini.

Terdahulu, lebih 100 mahasiswa berarak sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke ibu pejabat terbabit.

Himpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) yang bermula 12.30 tengah hari itu, antara lain bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu bergaji RM4,000 ke atas.

Pada 17 November lalu, PTPTN dilaporkan mengakui tidak mampu menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata, cadangan penangguhan pembayaran semula itu bakal memberi kesan buruk kepada institusi berkenaan bagi jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 9:48 PM
ANTARA individu yang hadir pada Himpunan Tuntutan Janji PTPTN. FOTO Owee Ah Chun