KETAM yang dirampas. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 3,975 kilogram (kg) ketam hidup di kawasan perairan Batu 3, dekat Tawau, semalam.

Pada kejadian 5.30 petang itu, hidupan laut berkenaan yang bernilai RM91,340 dirampas sepasukan pegawai dan anggota PPM Tawau dengan kerjasama Jabatan Perikanan.

Ia selepas pihak berkuasa mengesan dua bot jongkong dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM, Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot jongkong menemui 159 kotak polisterina mengandungi ketam hidup dipercayai cuba diseludup masuk dari Indonesia.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua juragan gagal mengemukakan sebarang lesen atau surat kelulusan dari Jabatan Perikanan Tawau untuk membawa masuk kesemua hasil laut berkenaan.

“Barang rampasan bersama kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan diserah kepada Jabatan Perikanan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, dalam operasi sama, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 40-an dan merampas 400 kg ikan dianggarkan bernilai RM65,200 dipercayai hasil daripada kegiatan bom ikan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan dan siasatan oleh Jabatan Perikanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:17 AM