SEBANYAK 18 kenderaan terbakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi tadi. FOTO NSTP
Norrasyidah Arshad


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau akan memperbetulkan kenyataan beliau mengenai kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Menurutnya, kenyataan EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerjaan Prihatin itu mungkin terdapat kesalahan tatabahasa yang dikeluarkannya.

“Saya sudah bagi kenyataan. Jangan ada pihak keluarkan kenyataan mengguris yang mampu timbulkan rasa kurang selesa.

“Hal ini kita serahkan kepercayaan sepenuhnya kepada polis supaya mereka dapat menyiasat motif sebenar kejadian ini,” katanya ketika ditemui di lobi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Tular di Facebook (FB) hari ini apabila Ganabatirau didakwa mengeluarkan kenyataan di FB miliknya bahawa kejadian rusuhan di kuil terbabit berpunca dari serangan orang Islam.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipercayai sudah diubah selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Amirudin berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci terhadap perkara berkenaan selain mengambil tindakan sewajarnya.

Kata beliau, kerajaan negeri mengecam sebarang tindakan biadap yang melampaui batas undang-undang sekali gus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat Selangor.

“Saya menggesa semua pihak supaya bertenang serta tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bersifat perkauman, kebencian dan menghasut.

“Merujuk kepada kenyataan oleh Ketua Polis Selangor itu, ia hanya perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 2:26 PM