SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melambai kepada orang ramai sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (kiri) sebelum memulakan hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 dengan memandu kereta api dari Stesen Keretapi Kluang ke Stesen Keretapi Segamat, hari ini. FOTO Ihsan Kelab Media Johor
Mohd Fahmi Mohd Yusof


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan memulakan jelajah hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 dengan memandu kereta api sejauh 98 kilometer dari Stesen Keretapi Kluang menuju ke Stesen Keretapi Segamat, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa bersantap pagi bersama warga kerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Baginda kemudian berangkat meninggalkan stesen berkenaan dengan memandu kereta api diiringi Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menuju destinasi seterusnya bersama keluarga dan kerabat Diraja Johor berserta rombongan KMJ 2018.

Hari kedua KMJ 2018 menyaksikan perjalanan rombongan diketuai Sultan Ibrahim sejauh 305 kilometer bermula dari Kluang ke destinasi terakhir di Batu Pahat.

Perjalanan bermula di Stesen Keretapi Kluang ke stesen Segamat disusuli Padang Awam Batu Anam yang menyaksikan Sultan Ibrahim akan memandu kereta beroda tiga Morgan.

Sultan Johor kemudian akan ke Dataran Pulau Penarek Sungai Mati, Tangkak disusuli dengan Kompleks Sukan Pagoh di Muar sebelum menuju destinasi persinggahan terakhir bagi hari kedua iaitu Padang Awam Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Pelbagai acara disediakan yang dijangka membabitkan penyertaan keluarga dan kerabat Diraja Johor berserta ahli rombongan KMJ 2018 antaranya pameran membuat sajian masyarakat India, sukan rakyat.

Selain itu, turut diadakan demonstrasi kanu polo, penyampaian sumbangan anak yatim, berkhatan, acara cukur jambul dan berendoi, memasak kuih tradisional, gubahan bunga dan perlawanan bola sepak kain pelekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:46 AM